Kesimpulan pertempuran dan keadaan pasca peperangan Perang_Enam_Hari

Menjelang 10 Jun, Israel telah siap serangan terakhirnya di Bukit Golan dan satu gencatan senjata dimeterai pada hari yang berikut. Ketika itu, Israel telah menawan Jalur Gaza, Semenanjung Sinai, Tebing Barat di Sungai Jordan (termasuk Jerusalem Timur), dan Bukit Golan. Pada keseluruhannya, kawasan wilayah Israel bertambah tiga kali ganda, termasuk lebih kurang sejuta orang Arab yang diletakkan di bawah kawalan langsung Israel di wilayah-wilayah yang baru ditawan. Kawasan Israel bertambah sehingga sekurang-kurang 300 kilometer ke selatan, 60 kilometer ke timur, dan 20 kilometer ke utara. Kawasan utara ini yang mempunyai rupa bumi yang amat berceranggah merupakan aset keselamatan yang terbukti amat berguna dalam Perang Arab-Israel 1973 pada enam tahun kemudian.

Pentingnya Perang 1967 dari segi politik amat besar. Israel telah menunjukkan bahawa ia bukan sahaja dapat, tetapi juga sudi memulakan serangan-serangan strategik yang dapat mengubahkan keseimbangan wilayah. Mesir dan Syria membelajari pengajaran taktikal, tetapi mungkin bukannya yang strategik, dan kemudian melancarkan serangan pada tahun 1973 dalam satu percubaan untuk menuntut semula wilayah yang ditawan oleh Israel.

Menurut Chaim Herzog:

Pada 19 Jun, 1967, Kerajaan Perpaduan Kebangsaan [Israel] mengundi dengan sebulat suara untuk mengembalikan Sinai kepada Mesir dan Bukit Golan kepada Syria sebagai balasan untuk persetujuan-persetujuan keamanan. Selain itu, Israel memerlukan Bukit Golan dijadikan kawasan bebas tentera, serta persediaan khas untuk perundingan terhadap persoalan Selat Tiran. Kerajaan Israel juga membuat ketetapan untuk memulakan perundingan dengan Raja Hussein dari Jordan mengenai sempadan timurnya. [72]

Menurut apa yang dirancang, keputusan Israel akan disampaikan ke negara-negara Arab melalui Amerika Syarikat. Bagaimanapun, walaupun Amerika Syarikat diberitahu tentang keputusan ini, ia tidak diberitahu bahawa Israel memerlukan bantuannya untuk menyampaikan keputusan ini kepada Mesir dan Syria. Oleh itu, sesetengah ahli sejarah mendakwa bahawa Mesir dan Syria tidak pernah menerima tawaran itu. [73]

Kemudian, Persidangan Kemuncak Arab Khartoum membuat ketetapan bahawa "tidak akan adanya sebarang keamanan, pengiktirafan, atau perundingan dengan Israel". Bagaimanapun, sebagaimana yang Avraham Sela memerhatikan, persidangan Khartom menandakan secara berkesan suatu peralihan tanggapan pertempuran negara-negara Arab daripada persoalan tentang kesahan Israel kepada persoalan wilayah dan sempadan dan ini ditegaskan pada 22 November ketika Mesir dan Jordan menerima Ketetapan 242. [74]

Keputusan kabinet pada 19 Jun tidak merangkumi Jalur Gaza dan oleh itu, mengakibatkan kemungkinan Israel untuk memperoleh sebahagian Tebing Barat secara kekal. Pada 25 - 27 Jun, Israel menggabungkan Jerusalem Timur bersama kawasan-kawasan Tebing Barat di utara dan selatan ke dalam kawasan perbandaran Jerusalemnya melalui sempadan-sempadan yang baru.

Lagi satu aspek peperangan adalah mengenai para penduduk yang menghuni di wilayah-wilayah yang ditawan: antara sekitar sejuta orang Palestin di Tebing Barat, 300,000 (menurut Jabatan Negara Amerika Syarikat) melarikan diri ke Jordan dan menyumbangkan kepada pergolakan yang semakin bertambah di sana. 600,000 orang yang lain [75] kekal di Tebing Barat. Di Dataran Tinggi Golan, sebanyak 80,000 orang Syria dianggarkan melarikan diri. [76] Hanya para penghuni Jerusalem Timur dan Dataran Tinggi Golan dibenarkan menerima hak kediaman Israel yang terhad apabila Israel mengilhakkan wilayah-wilayah tersebut pada awal dekad 1980-an. Lihat juga Pertempuran Israel-Palestin.

Kedua-dua Jordan dan Mesir akhirnya menarik balik tuntutan masing-masing terhadap Tebing Barat dan Gaza (Sinai dikembalikan berdasarkan Perjanjian Kem David pada tahun 1978, dan persoalan Dataran Tinggi Golah masih dirundingkan dengan Syria). Selepas penaklukan 'wilayah-wilayah' baru ini oleh Israel, sebuah usaha penempatan yang besar dilancarkan oleh Israel untuk bertapak secara kekal. Terdapat ratusan ribu peneroka Israel di wilayah-wilayah tersebut pada hari ini, walaupun petempatan-petempatan Israel di Gaza telah dipindahkan dan dimusnahkan pada Ogos 2005 sebagai sebahagian rancangan pengunduran satu pihak Israel.Korban perang, jauh daripada jangkaan Israel yang teruk, adalah agak rendah, dengan 338 orang askar di bunuh di barisan hadapan Mesir, 300 orang di barisan hadapan Jordan, dan 141 orang di barisan hadapan Syria. Mesir hilang 80% daripada kelengkapan tenteranya, dengan 10,000 orang askar dan 1,500 orang pegawai dibunuh, 5,000 orang askar dan 500 orang pegawai ditangkap, [77] serta 20,000 orang tercedera. [78] Jordan mengalami 6,000-7,000 orang askar dibunuh dan mungkin antara 12,000 - 20,000 orang tercedera. [79] Syria pula mengalami 2,500 orang askar terbunuh dan 5,000 orang tercedera, dengan separuh daripada jumlah kereta kebalnya serta hampir seluruh meriam yang terletak di Dataran Tinggi Golan dimusnahkan. [80] Pengiraan rasmi korban Iraq ialah 10 orang askar dibunuh dan lebih kurang 30 orang tercedera. [81]

Perang 1967 juga menyediakan asas untuk perbalahan masa hadapan di kawasan ini. Pada 22 November 1967, Majlis Keselamatan PBB meluluskan Ketetapan 242, formula "tanah untuk keamanan", yang memerlukan pengunduran Israel "dari wilayah-wilayah yang diduduki" pada tahun 1967 sebagai balasan untuk "penamatan semua tuntutan atau keadaan perang". Walaupun demikian, para pencipta Ketetapan 242 mengesan bahawa setakat penyesuaian wilayah mungkin diperlukan dan oleh itu, dengan sengaja tidak memasukkan perkataan "all" atau "the" (iaitu semua) dalam versi teks bahasa Inggeris yang rasmi ketika merujuk kepada "wilayah-wilayah yang diduduki" semasa perang, walaupun perkataan padanan tersebut dimasukkan dalam versi-versi yang lain, khususnya versi-versi Perancis, Sepanyol, dan Rusia. Ketetapan tersebut mengiktiraf hak "setiap negara di kawasan itu" — khususnya Israel — untuk "mendiami dalam keamanan di dalam sempadan-sempadan yang selamat dan diiktiraf, bebas daripada semua ancaman atau tindakan kuasa." Israel memulangkan Sinai kepada Mesir pada tahun 1978 selepas Persetujuan Kem David, dan mengundurkan diri sama sekali dari Jalur Gaza pada musim panas tahun 2005.

Rujukan

WikiPedia: Perang_Enam_Hari http://archives.cnn.com/2002/WORLD/meast/04/14/me1... http://www.historycentral.com/Israel/1967SixDayWar... http://i-cias.com/e.o/golan_h.htm http://www.isracast.com/Transcripts/060605a_trans.... http://www.isracast.com/narkiss.asx http://www.state.gov/r/pa/ei/bgn/3464.htm http://www.state.gov/r/pa/ho/frus/johnsonlb/xix/28... http://mfa.gov.il/mfa/go.asp?MFAH01bw0 http://www.mfa.gov.il/MFA/Foreign%20Relations/Isra... http://www1.idf.il/DOVER/site/mainpage.asp?sl=EN&i...